KANGAR – Hasrat sebuah keluarga untuk membawa pulang ibu mereka yang terlantar akibat diserang strok di Madinah tidak kesampaian selepas wanita itu, Halimah Ismail, 64, menghembuskan nafas terakhir kelmarin.
Allahyarham Halimah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Fahad, Arab Saudi pada pukul 3.34 petang waktu tempatan.
Wanita empat anak yang berasal dari Kampung Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit itu menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 5 Februari lalu.
Anak Halimah, Siti Nur Ain Abd. Sanief, 31, berkata, mereka sekeluarga berhasrat untuk membawa pulang wanita itu ke Malaysia pada kelmarin namun tertangguh kerana keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Keadaan kesihatan mak merosot beberapa hari sebelum itu, menyebabkan urusan membawa pulang terpaksa dibatalkan kerana keadaannya yang terlalu kritikal dan berisiko tinggi.
“Waktu itu mak bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen dan sekiranya dibawa menaiki penerbangan, tahap oksigen akan menurun dan membahayakan nyawa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Siti Nur Ain berkata, ketika dirawat di Hospital King Fahad, ibunya cuba untuk bercakap tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana saluran pernafasan ditebuk.
“Mak masih boleh tersenyum, namun selepas kritikal baru-baru ini, badan mak sudah tak boleh menerima ubat,” ujarnya.
Tambahnya, dia sempat menatap wajah arwah ibunya, menerusi panggilan video bersama adiknya, Muhammad Al Imran, 25, yang berada di sana sejak Februari lalu.
“Buat video call (panggilan video) selepas mandi jenazah. Dekat ICU pun ada buat video call.
“Mak dikebumikan di Perkuburan Baqi’ selepas solat subuh,” katanya.
Ditanya mengenai pesanan ibu yang sentiasa diingati, Siti Nur Ain memberitahu, sentiasa memaafkan orang adalah ungkapan yang selalu disebut Halimah.
“Arwah mak sering pesan agar jangan lupa solat dan ingat Allah ia akan terus kekal dalam ingatan saya.” jelasnya.
Tambahnya, wang hasil bantuan orang ramai kira-kira RM273,000 akan digunakan untuk membayar bil hospital dan sekiranya terdapat lebihan, akan digunakan untuk badal haji untuk Allahyarham serta urusan lain berkaitan ibu.
Kosmo! pada 6 April lalu melaporkan, sebuah keluarga dari Kampung Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Perlis memerlukan bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi membawa pulang ibu mereka yang terlantar di Hospital King Fahad sejak 5 Februari lalu akibat strok sewaktu mengerjakan umrah.














