PETALING JAYA – Tindakan segelintir individu merokok di kedai makan bukan sahaja mengganggu keselesaan orang lain, malah boleh mendedahkan orang sekeliling kepada risiko kesihatan yang serius.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, dia meluahkan rasa terkilan apabila teguran orang sekeliling seolah-olah tidak diendahkan oleh kumpulan terbabit.
Sebuah rakaman video menunjukkan individu berkenaan telah pun memberi teguran sambil menunjukkan isyarat tanda dilarang merokok yang terpampang jelas di premis tersebut kepada kumpulan pemuda itu.
Namun, amaran itu seolah-olah ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’ apabila mereka hanya tersenyum sinis tanpa rasa bersalah.
“Sakit pulak hati aku tengok budak rempit B40 ni merokok dalam kedai. Orang tegur pun buat tak tahu je,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut mengecam tindakan tersebut yang dianggap mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati pelanggan lain, terutama di kawasan larangan merokok.
Malah, ada juga yang mempersoalkan peranan pemilik premis yang dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’ dan membiarkan situasi itu berlaku tanpa tindakan tegas.
“Kau nak hisap rokok pun keluar lah dari kedai makan. Jarak sikit, bukan susah pun,” jelas Ridwanzaini.
“Restoran pun kena dipersalahkan sebab buat tak peduli,” ujar Lubuk_emas.
“Orang tegur dia gelak-gelak. Cuba fikir ada budak kecil dan orang ramai di situ,” kata Alan_On36iam pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














