JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Kok Chek, 45, dan dua warga Indonesia, Hendrik Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh mencapai niat bersama telah menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter di dalam sebuah tangki dan sebanyak 89 liter di dalam tangki IBC tanpa kebenaran pengawal bekalan untuk penyimpanan tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4.09 pagi di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin, di sini, Khamis lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Nur Sulehan Abd. Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh warga tempatan itu diberikan jaminan berjumlah RM100,000 manakala tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh warga asing kerana tidak memiliki pasport dan berdepan risiko melarikan diri.
Mohamad Azrulsani memohon jaminan yang minima buat anak guamnya yang bekerja menguruskan kebun ubi kayu dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM10,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh warga Indonesia itu dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru setelah jaminan tidak dibenarkan.
Tarikh 3 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan laporan kimia.
Terdahulu, KPDN menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing disyaki menyalahgunakan kemudahan fleet card bagi mengumpul minyak diesel secara haram di sebuah premis di daerah ini.
Dalam serbuan itu, pihak KPDN merampas lapan fleet card serta minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM65,024 disita.-KOSMO! ONLINE














