PETALING JAYA – Tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengundang perhatian, termasuk hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari di media sosial.
Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas menerusi satu hantaran di laman Facebook memuat naik ucapan tahniah kepada UMNO Negeri Sembilan yang dianggap memulakan langkah untuk menolak pembentukan kerajaan perpaduan di negeri tersebut.
“Tahniah UMNO Negeri Sembilan memulakan langkah penyatuan tolak PH!” Katanya.
Hantaran Itu dimuat naik susulan kenyataan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bahawa kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN sebulat suara hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan krisis adat yang didakwa boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran serta keharmonian rakyat, selain menegaskan komitmen mempertahankan institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan gabungan PH dan BN sebelum ini membentuk kerajaan negeri sebanyak 31 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memiliki lima kerusi. – KOSMO! ONLINE














