BOGOTA – Seorang kanak-kanak lelaki di Colombia mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam bersahaja menggosok gigi sahabatnya yang merupakan seekor anak buaya, lapor portal berita Times of India.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @up2date.ind menunjukkan kanak-kanak dikenali sebagai Himer itu berjalan ke arah sungai sambil menjerit nama reptilia itu.
Beberapa saat kemudian, anak buaya itu muncul ke permukaan air dan berenang laju ke arah Himer.
Buaya itu membuka mulutnya tanpa perlu diarah dan membenarkan Himer menggosok giginya dengan berus gigi.
Rakaman itu mencatatkan lebih 971,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Doktor gigi haiwan akan datang,” kata seorang netizen.
“Saya nak gosok gigi anak pun susah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














