PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakimannya bagi mendapatkan perintah supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Menerusi notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, memaklumkan bahawa Najib selaku perayu berhasrat untuk menarik balik rayuan terhadap responden tanpa kebenaran untuk memfailkan semula serta tanpa sebarang perintah berhubung kos.
Dalam pada itu, tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.
Pada masa sama, Najib turut menarik balik permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu Titah Adendum.
Najib memaklumkan ingin memberhentikan dan menarik balik rayuan berhubung prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan sama dan tanpa sebarang perintah berhubung kos.
Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan peguam adalah teratur, dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najib.
Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Najib yang menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. sejak 23 Ogos 2022, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Titah Adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit si bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib dengan itu memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah. – KOSMO! ONLINE














