WASHINGTON – Polis berkata semalam bahawa lelaki bersenjata yang menyerbu majlis makan malam gala dihadiri oleh Donald Trump, merancang untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat(AS) dan beberapa pegawai tertinggi lain, ketika kawalan keselamatan acara tersebut diteliti semula.
Trump yang dibawa keluar dari dewan besar sebuah hotel di Washington oleh ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia, menyiarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup(CCTV) menunjukkan penyerang berlari melepasi pusat pemeriksaan.
Selepas berbalas tembakan dengan ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia, suspek ditahan di tempat kejadian malam kelmarin dan disoal siasat. Dia akan dihadapkan di mahkamah hari ini.
Trump turut berkongsi gambar suspek dengan tangan digari terbaring di atas lantai hotel.
“Dia tidak bekerjasama secara aktif. Saya menjangkakan dia akan didakwa secara rasmi esok pagi(hari ini) di mahkamah persekutuan di Washington,” kata Pemangku Peguam Negara,Todd Blanche kepada rancangan terbitan saluran CBS, Face The Nation.
“Kami percaya dia menyasarkan ahli-ahli pentadbiran,” katanya.
Blanche menambah, tiada motif lanjut diketahui berhubung serangan itu, namun beliau mengesahkan bahawa suspek yang bersenjatakan senapang patah, pistol dan pisau itu tinggal di hotel Washington Hilton tempat makan malam gala diadakan.
“Kami percaya dia menaiki kereta api dari Los Angeles ke Chicago, dan kemudian dari Chicago ke Washington.
“Nampaknya dia membeli senjata api yang digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Blanche.
Trump pula tanpa memberikan butiran berkata, suspek telah menulis manifesto ‘anti-Kristian.’
“Lelaki ini bermasalah. Saudara lelaki dan perempuannya pernah mengadu tentang suspek. Mereka malah mengadu kepada penguatkuasa undang-undang,” kata Trump kepada saluran berita Fox News.
Menurut akhbar The New York Post pula, suspek yang dikenali sebagai Cole Allen, 31, telah menulis dalam nota yang dikongsi bersama keluarganya sejurus sebelum serangan bahawa sasarannya akan ‘diutamakan daripada mereka yang berpangkat tertinggi hingga paling rendah’. – AFP














