fbpx
Gambar hiasan

Adik trauma dipukul, pelaku tidak berperikemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Keluarga kepada wanita hamil yang mengalami keguguran selain cedera teruk akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu menyifatkan pelaku sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Abang mangsa, 45, turut berharap suspek berusia 43 tahun yang dipercayai masih bebas dapat segera ditangkap dan diadili mengikut proses undang-undang.

Dakwanya, selain adiknya yang berusia 39 tahun, suspek juga dipercayai sedang berdepan proses mahkamah berkaitan kes mencederakan bekas isteri.
“Selepas kejadian itu saya membuat semakan dengan rakan-rakan dan mendapati pelaku itu turut terlibat dalam beberapa kes memukul isterinya sebelum ini.

“Kami sekeluarga terkejut kerana dia menunjukkan perwatakan baik setiap kali bertemu ahli keluarga. Selepas kejadian yang menimpa adik, baru kami tahu sikapnya yang sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dia mendakwa, suspek wajar dikenakan hukuman berat kerana tergamak bertindak kasar terhadap wanita yang lemah.

“Tambahan pula ini bukan kali pertama dia bertindak kasar terhadap adik. Kami terpaksa campur tangan kerana terkesan dengan penderitaan adik dari segi mental dan fizikal.

“Kecederaan yang dialami adik kali ini teruk termasuk kehilangan bayi berusia 12 minggu yang dikandungnya, menyebabkan kami berharap dia segera ditangkap. Adik saya kini dalam keadaan trauma,” ujarnya.

Menurutnya, sejak mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, adiknya sering mengadu sakit di seluruh badan termasuk tidak dapat mengunyah makanan kerana sakit di bahagian rahang.

“Adik mengadu dia dipijak di bahagian kepala dan leher oleh suaminya selain dua jari tangan kirinya patah akibat pukulan besi semasa kejadian itu. Dia sering dilihat menangis dan murung dipercayai akibat trauma,” katanya.

Jelasnya, adiknya mempunyai dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita mengalami keguguran selain cedera teruk akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Ambangan Heights, Khamis lalu.

Mangsa didakwa dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah.

Suspek turut dipercayai melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.

Pasangan terbabit dikatakan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN