fbpx
Sivakumar (kanan) bersama peguamnya, Manoharan dan Hariharan di pekarangan Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini.

Mahkamah tolak tuntutan RM3 juta kematian pelajar UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan ganti rugi kira-kira RM3 juta yang difailkan seorang lelaki susulan kematian anak perempuannya didakwa akibat renjatan elektrik di asrama Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok dekat sini empat tahun lalu.

Hakim Dr. Mohammad Johan Lee menolak tuntutan itu dengan kos RM5,000 selepas mendapati R. Sivakumar selaku plaintif gagal membuktikan kes terhadap UUM sebagai defendan. Sivakumar diwakili peguam M. Manoharan dan M. Hariharan, manakala UUM diwakili peguam P. Barvina dan Y. Sathisharajah.

Dalam penghakimannya, Mohammad Johan berkata, plaintif gagal membuktikan bahawa renjatan elektrik merupakan punca kematian pelajar UUM, Vinosiny R. Sivakumar, 21, yang utama.
“Plaintif amat bergantung kepada laporan bedah siasat yang disediakan oleh SP1 (pegawai perubatan) yang merumuskan punca kematian adalah akibat renjatan elektrik berdasarkan penemuan histopatologi dan kesan kecederaan pada buku lali si mati.

“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, penemuan SP1 mempunyai kelemahan asas apabila mengakui beliau telah membentuk pendapat awal kemungkinan renjatan elektrik pada 22 Mei 2022 iaitu sebelum melawat lokasi kejadian atau menyelesaikan siasatan,” katanya.

Selain itu, katanya, SP1 turut mengakui tidak menjalankan ujian forensik penting seperti ujian metalisasi.

“Beliau juga bersetuju bahawa ciri histopatologi yang disandarkannya iaitu pemanjangan nuklear bukanlah khusus untuk renjatan elektrik semata-mata dan boleh berlaku akibat trauma lain seperti lecuran haba. SP1 juga mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik,” ujarnya.

Jelasnya, si mati turut didapati menghidap penyakit fibrosis miokardium yang meningkatkan risiko aritmia yang boleh membawa maut.

Kata beliau, mahkamah turut mendapati laporan berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran kukuh kerana SP1 bukan pakar perunding patologi forensik serta mengendalikan kurang daripada lima kes renjatan elektrik sepanjang kerjayanya.

Pada masa sama, SP1 mengakui bahawa kesimpulan renjatan elektrik berkemungkinan berlaku apabila buku lali si mati tersentuh palang besi di bawah meja.

Katanya, SP1 secara jelas mengakui tiada kaitan renjatan elektrik daripada lampu dinding seperti didakwa dalam kes plaintif, selain palang besi itu hanya konduktor dan tidak boleh menjadi punca elektrik dengan sendirinya.

“Oleh kerana SP1 gagal mengenal pasti punca kebocoran elektrik, kesimpulan beliau kekal sebagai andaian semata-mata. Tambahan pula, defendan mengemukakan keterangan bebas yang meyakinkan daripada Suruhanjaya Tenaga yang menjalankan ujian menyeluruh pada 1 Jun 2022 dan merumuskan tiada kebocoran elektrik serta peranti keselamatan berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Manoharan ketika ditemui selepas prosiding menyatakan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada esok.

Akhbar sebelum ini melaporkan penuntut semester empat Sarjana Muda Perakaunan UUM itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya sebelum disahkan telah meninggal dunia pada 21 Mei 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN