TUMPAT – Seorang pelajar tingkatan lima hanya mampu berzikir selama hampir sejam bagi menghilangkan rasa takut apabila terjatuh ke dalam perigi sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Wan Ahmad Mukhlis Wan Md. Fadhli, 17, mengalami kecederaan pada kepala selepas jatuh ke dalam perigi sedalam 5.5 meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sementara menunggu waktu peperiksaan pada pukul 11 pagi.
Menurutnya, semasa sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya sebelum penutup perigi itu tiba-tiba pecah.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa jatuh ke dalam perigi yang mempunyai air pada paras pinggang. Tukang kebun sekolah berkenaan cuba turun ke dalam perigi untuk menyelamatkan remaja itu, namun gagal kerana dia tidak boleh bernafas.
“Mangsa yang berada dalam keadaan sedar meskipun mengalami kecederaan pada kepala dikatakan berzikir sepanjang tempoh sejam berada di dalam perigi itu bagi menghilangkan rasa takut sementara menunggu ketibaan bomba,” katanya.
Azmi memberitahu, anggota bomba menggunakan tali dan tangga untuk membantu mangsa keluar dari perigi sebelum remaja itu dihantar untuk rawatan lanjut ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dengan menaiki ambulans. – KOSMO! ONLINE














