SHAH ALAM – Lelaki dikenali ‘Imran’ yang disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pelancongan telah ditangkap kelmarin di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penangkapan suspek susulan laporan diterima pihaknya dengan kes disiasat mengikut 420 Kanun Keseksaan.
“Suspek kini direman empat hari sehingga 28 April dengan siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor.
“Difahamkan, lelaki ini juga ada melibatkan kes di beberapa kontinjen negeri lain dan kami (Polis Selangor) akan berkolaborasi dengan kontinjen terbabit,” katanya ketika ditemui pada Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat di sini, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini hanya satu laporan terhadap suspek diterima bagi Polis Kontinjen Selangor.
Shazeli menambah, jumlah kerugian dan modus operandi suspek masih dalam siasatan pihaknya.
“Jadi, beri ruang dan peluang kepada kami dalam melengkapkan siasatan kes itu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Imran’ yang disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pelancongan yang tular di media sosial, termasuk menggunakan identiti isterinya bagi urusan pinjaman bank
Terdahulu, media melaporkan kes penipuan membabitkan individu dikenali sebagai Imran Koyube turut mendapat perhatian selepas tular di media sosial.
Menerusi penularan itu, suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini sebelum kembali aktif menggunakan identiti serta nama agensi berbeza, selain dipercayai menyasarkan pelanggan perkhidmatan pelancongan. – KOSMO! ONLINE














