fbpx
AZLEE berkata meskipun Hamdan sudah tidak lagi bersama mereka, figura itu merupakan antara penyumbang penting yang menggerakkan Senario sejak dahulu.

Kalau arwah masih ada, dia sebahagian daripada konsert ini – Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sekiranya arwah masih hidup, dia sebahagian daripada konsert ini.”

Demikian kata Azlee mewakili kumpulan Senario usai melunaskan konsert The Last Kopek Senariounion 30 Tahun di Idea Live Arena malam tadi yang turut menyaksikan segmen menyayat hati iaitu penghargaan istimewa kepada bekas anggotanya, Allahyarham Hamdan.

Pada malam penuh nostalgia itu, Senario menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Hamdan serta menyerahkan trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP) sebagai simbolik penghormatan terhadap legasi yang ditinggalkan sahabat mereka.

Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar berkata, meskipun Hamdan sudah tidak lagi bersama mereka, figura itu merupakan antara penyumbang penting yang menggerakkan Senario sejak dahulu.

“Sebenarnya Doa Untuk Ayah adalah lagu kumpulan Serba Salah yang dianggotai Allahyarham Hamdan bersama Wahid dan Ilya, malam ini kita bawakan untuk mengenang arwah bersama-sama di konsert ini.

“Kita sudah kehilangan seorang anggota tapi kita tetap tak melupakan keluarga arwah, sebab itu kita panggil mereka bersama kita malam ini.

“Malah sebenarnya trofi ini pun kita sudah lama serah dan malam ini kami beritahu peminat, ini adalah hasil undian mereka. Jadi kami secara berkumpulan serahkan trofi ini bersama-sama kepada anak arwah untuk disimpan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Hadir menerima trofi dan turut menyampaikan lagu Doa Untuk Ayah bersama Senario ialah anak sulung kepada Allahyarham Hamdan, Muhamad Syazreen Haqem Ahmad Hamdan

Sebelum ini, Senario pernah menyuarakan hasrat untuk menghadiahkan trofi Artis Komedi Popular yang dimenangi menerusi ABP36 kepada keluarga Allahyarham Hamdan, sekali gus membuktikan bahawa jasa arwah tidak sesekali dilupakan.

Allahyarham Hamdan Ramli meninggal dunia pada 5 Januari 2024 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru akibat jangkitan kuman dalam darah.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah, Perak memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudian membentuk kumpulan Senario pada 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Genap bersama selama 30 tahun, Senario kini setia dianggotai Azlee, Wahid, Lan Pet Pet, Yassin Yahya dan Ilya Buang.

Konsert yang bermula seawal pukul 8.40 malam hingga 11.10 malam itu menyaksikan Senario tampil penuh ‘cerita’ menghiburkan penonton dengan kira-kira 19 lagu, sekali gus mengembalikan nostalgia kegemilangan mereka di pentas langsung.

Antara lagu popular yang dipersembahkan ialah Cinta Sate, Boria Miskin Kaya, Kerja, Cepat Kaya, Dikir Barat Siang Malam, Motor Kapchai, Aspalela, Sebelum Sesudah dan Cari Tapak.

Senario juga mengundang penyanyi, Aina Abdul menerusi segmen khas menyanyikan beberapa lagu termasuklah Joget Toleh Menoleh, Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN