KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki negara mempamerkan kebangkitan dramatik apabila menewaskan England 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Thomas di Forum Horsens, sebentar tadi.
Malaysia dikejutkan pada perlawanan pertama apabila Justin Hoh tewas kepada Harry Huang 19-21, 19-21, sekali gus menyaksikan England meraih mata awal.
Gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menghidupkan peluang apabila menewaskan Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, England sekali lagi berada di hadapan selepas Aidil sholeh Ali sadikin gagal menandingi Cholan Kayan apabila tewas 16-21, 15-21 dalam perlawanan ketiga.
Ketika berada di ambang kekalahan, pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tampil menyelamatkan keadaan dengan kemenangan bergaya 21-14, 21-14 ke atas Alex Green-Zach Russ untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan.
Wei Chong mengakui mereka turun tanpa tekanan meskipun berdepan situasi getir ketika itu.
“Kedudukan 2-1 hanyalah angka dan kami belum tewas. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan dan bermain tanpa tekanan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kemenangan bergaya Lee Zii Jia ke atas Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 dalam perlawanan kelima memastikan Malaysia melakar kemenangan penting dalam aksi pembukaan.
Wei Chong turut menegaskan semangat sepasukan menjadi kunci kebangkitan Malaysia, selain menyeru rakan sepasukan untuk terus percaya sehingga ke penghujung perlawanan.
“Kami hanya terus menyokong antara satu sama lain dan percaya kepada pasukan hingga ke akhir. Dalam acara berpasukan, apa sahaja boleh berlaku kerana semua pemain berjuang untuk negara,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














