fbpx
SEBAHAGIAN barang kes berkaitan penahanan seorang lelaki Korea Selatan baru-baru ini.

Malaysia lokasi mudah penjenayah asing sembunyi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penahanan beberapa individu warga asing di negara ini yang dikaitkan dengan pelbagai kegiatan jenayah selain turut menjadi orang buruan telah mencetuskan persoalan baharu adakah Malaysia kini dijadikan lokasi untuk penjenayah antarabangsa bersembunyi.

Kes terbaharu melibatkan seorang penjenayah warga Jepun yang dikehendaki oleh negaranya sejak 2018 dan berjaya ditahan pihak berkuasa Malaysia sebelum dihantar pulang kelmarin.

Sebelum itu, polis turut mengesahkan siasatan ke atas seorang warga Korea Selatan yang diselamatkan pada 21 April lalu mendapati lelaki itu sebenarnya menjadi buruan Interpol dengan kes perjudian haram dan jenayah terancang di negaranya.

Menjawab persoalan tersebut, Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, semua kes tersebut bagaimanapun tidak wajar dijadikan bukti untuk melabel Malaysia sebagai tempat perlindungan penjenayah antarabangsa.

Sebaliknya, beliau mengakui bahawa situasi itu lebih tepat dilihat sebagai petunjuk bahawa negara ini sedang muncul sebagai ‘ruang operasi’ dalam ekosistem jenayah global.

Menurut beliau, dalam kriminologi, fenomena tersebut dikenali sebagai mobile networked crime atau nomadic networked crime di mana penjenayah tidak lagi bergantung kepada satu lokasi tetap, sebaliknya bergerak dari satu negara ke negara lain sebagai pangkalan operasi sementara.

“Kes ini bukan bukti Malaysia safe haven, tetapi indikator bahawa Malaysia sedang muncul sebagai operational space dalam jenayah rentas sempadan.

“Penjenayah kini bersifat mobil, beroperasi secara jaringan dan menggunakan pelbagai negara sebagai lokasi sementara,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keupayaan penjenayah memasuki negara, menukar identiti dan hidup tanpa dikesan berpunca daripada eksploitasi kelemahan sistem yang tidak di­selaraskan sepenuhnya.

“Mereka membina identiti berlapis melalui dokumen, akaun dan proksi tempatan. Dalam banyak keadaan, tidak mustahil wujud unsur rasuah yang membantu proses ini,” dakwanya.

Katanya, dalam teori Aktiviti Rutin, jenayah berlaku bukan kerana ketiadaan kawalan, tetapi kerana kawalan yang tidak cukup terkoordinasi.

Mengulas faktor Malaysia menjadi sasaran, Dr. Haezreena Begum berkata, negara ini menawarkan struktur peluang yang tinggi kepada penjenayah.

“Malaysia mempunyai keterbukaan, mobiliti yang mudah serta jaringan tempatan yang boleh dieksploitasi.

“Penjenayah tidak memilih negara paling lemah, tetapi yang memberi low detection, high opportunity (risiko dikesan rendah, peluang tinggi). Tambahan pula, masyarakat kita yang aman dan saling mempercayai turut menjadi faktor,” katanya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kes yang didedahkan hanyalah sebahagian kecil daripada ancaman sebenar.

“Kes seperti ini berpotensi hanya tip of the iceberg (sebahagian kecil yang kelihatan) kepada dark figure of crime (jenayah tersembunyi) yang tidak kelihatan.

“Ancaman sebenar bukan satu kes culik semata-mata, tetapi kemungkinan wujud rangkaian jenayah yang beroperasi secara senyap di belakangnya,” jelasnya.

Tegas beliau, Malaysia tidak boleh dianggap sebagai safe haven (tempat perlindungan selamat), namun tanpa koordinasi sistem yang kukuh, negara berisiko menjadi ruang operasi dalam rangkaian jenayah global.

Sebelum ini, akhbar melaporkan beberapa kes jenayah melibatkan lelaki Korea Selatan yang menjadikan negara ini sebagai tempat berlindung daripada ­diburu pihak berkuasa negara asal mereka.

Antaranya kejayaan polis menahan seorang lelaki warga Korea Selatan di sebuah premis resi­densi di Bukit Jalil selepas suspek didapati cuba meloloskan diri dan berlindung di negara ini pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, ketika itu polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kesalahan jenayah yang dilakukannya sebelum berjaya meloloskan diri untuk bersembunyi di sini.

Tempoh sebenar suspek berada di sini juga masih belum diketahui dan setakat ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada 10 April lalu, imigresen turut membongkar juga kes seorang lelaki Korea Selatan berusia 49 tahun yang menjalani kehidupan mewah dengan menyewa di Horizon Hills di Iskandar Puteri, Johor, sebaliknya suspek menjadi individu yang diburu pihak berkuasa di negaranya.

Lelaki itu dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan kerugian berjumlah 3.5 bi­lion won (RM9.4 juta) dan masuk ke negara ini menggunakan pas penggajian palsu bagi memboleh­kan dia menetap di negara ini bersama isteri dan anak-anaknya tanpa dikesan pihak berkuasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN