MEKAH – Suhu di Tanah Suci pada musim haji tahun ini dijangka mencecah lebih 40 darjah Celsius dan jemaah haji Malaysia perlu memberi perhatian aspek kesihatan ketika menunaikan ibadah.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, keadaan cuaca panas berkenaan memerlukan jemaah sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan masalah kesihatan.
Menurut beliau, jemaah perlu memastikan tubuh badan kekal terhidrasi dengan mengambil air secukupnya, khususnya ketika kemuncak ibadah haji.
“Kita mohon jemaah menjaga kesihatan kerana suhu dijangka boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius, khususnya pada hari wukuf di Arafah.
“Jemaah perlu sentiasa memastikan badan tidak mengalami dehidrasi dengan minum air secukupnya.
“Ini amat penting kerana tahap kesihatan akan menentukan sama ada kita dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan lancar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 di Mekah bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini kelmarin.
Pada musim haji 2024, suhu pada ketika itu mencecah 51.6 darjah Celsius, menjadikan antara musim haji paling panas dalam sejarah moden.
Sementara itu, Tengku Mohd. Dzaraif berkata, Kerajaan Malaysia sentiasa memantau rapat setiap peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Arab Saudi dalam pengurusan ibadah haji bagi memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara.
Katanya, pada setiap kali musim haji menyaksikan penambahbaikan peraturan, sama ada melalui pengenalan langkah baharu atau pengetatan penguatkuasaan terhadap peraturan sedia ada.
Antaranya termasuk penggunaan aplikasi khas sebagai kelulusan rasmi untuk memasuki Tanah Haram di Mekah serta akses ke Masjidil Haram.
“Pemeriksaan di setiap checkpoint (sekatan) kini dilaksanakan secara lebih ketat, termasuk imbasan kod dan semakan identiti oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan, keselesaan serta kelancaran ibadah jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Penguatkuasaan ini penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah ke Tanah Haram, yang boleh menyebabkan jumlah jemaah meningkat secara tidak terkawal, malah berpotensi melebihi dua juta orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














