fbpx
Mohd. Jafni pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

20 peratus lot bumiputera tidak terjual di Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Jualan hartanah dan lot bumiputera yang berharga RM300,000 dan ke atas di daerah ini masih rendah dengan hanya 20 peratus sahaja terjual.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jualan lot bumiputera di daerah lain berada di tahap lebih baik sehingga 40 peratus telah terjual.

Katanya, dalam usaha menggalakkan penjualan unit tersebut, kerajaan negeri menawarkan insentif bagi menarik minat golongan bumiputera untuk memiliki rumah.

“Bagi rumah yang berharga RM300,000 dan ke bawah, itu kita kategorikan sebagai Rumah Mampu Milik Johor, ia mendapat Sambutan manakala lot bumiputera ini hanya 20 peratus sahaja terjual.

“Justeru, kerajaan negeri menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus kepada pembeli lot bumiputera bagi memastikan ia terjual,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri tidak tergesa-gesa untuk menukar status lot bumiputera itu, namun ada garis masa yang perlu dipatuhi sebelum dibuka di pasaran umum.

Katanya, faktor lokasi yang jauh dari tempat kerja dan harga juga menjadi faktor penyumbang kepada lot bumiputera tak terjual di daerah ini.

“Proses (menukar status lot) perlu melalui tempoh yang panjang dan ketat, bukan boleh lulus begitu sahaja, ini perlu melibatkan pihak pemaju serta campur tangan pihak kerajaan negeri.

“Sebab itu, kita tawarkan promosi kepada pembeli, pembeli itu tidak semestinya individu sahaja kerana lot bumiputera itu turut membabitkan lot industri dan komersial,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN