fbpx
PELUMBA trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mahu tampil lebih berani dalam acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, esok.

Izzah buru kebangkitan selepas pecah rekod kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri mahu meneruskan momentum cemerlang dengan menampilkan aksi lebih berani dalam acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, esok.

Semangat baharu itu hadir selepas pelumba berusia 23 tahun tersebut memecahkan rekod kebangsaan acara pecut individu wanita dengan catatan masa 10.541 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod lamanya 10.578s yang dilakukan pada Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, Mac tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan itu turut menamatkan kemarau catatan terbaik peribadi (PB) selama 13 bulan sejak kali terakhir dilakukannya di Konya.

Walaupun perjalanan Izzah terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada juara dunia, Hetty van de Wouw dari Belanda, pelumba kelahiran Kedah itu tetap menyifatkan pengalaman berlumba menentang pelumba elit dunia itu sebagai pengajaran paling besar dalam kariernya.

AKSI pelumba wanita negara, Nurul Izzah ketika berdepan jaguh Ukraine, Alla Bilietska di Velodrom Nasional, Nilai.

“Ini antara pencapaian terbesar dalam karier saya. Saya berjaya pecahkan rekod kebangsaan dan berada dalam kelompok tujuh terbaik dunia. Walaupun jumpa juara dunia, ia adalah pengajaran besar untuk saya belajar tentang taktikal dan kelajuan.

“Saya kini lebih yakin selepas berjaya konsisten mencatat masa bawah 11 saat,” katanya selepas perlumbaan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.

Menurut Izzah, kejayaan tersebut lahir hasil peningkatan keyakinan diri yang dibina menerusi siri kejohanan antarabangsa sejak awal musim ini.

Katanya, perlumbaan di Perth, Australia dan Hong Kong banyak membantu meningkatkan tahap keyakinannya untuk kembali bersaing di pentas tertinggi.

Mengulas persiapan menghadapi acara keirin esok, Izzah mengakui dia perlu tampil lebih agresif dan berani terutama dari sudut taktikal.

“Untuk keirin esok, saya mahu jadi lebih berani. Di peringkat dunia, satu kesilapan kecil pun boleh menyebabkan kita tersingkir. Di Hong Kong sebelum ini saya rasa saya terlalu bermain selamat dan kurang berani apabila pihak lawan memotong dengan jarak yang sangat rapat.

“Sebaik ada pergerakan daripada pelumba lain, saya perlu lebih peka dan ikut membuat pergerakan juga. Itu antara aspek taktikal yang saya perlu perbaiki,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN