fbpx
Zulkifli pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

Agensi agama fokus bantu sekolah KAFA mangsa kebakaran Sandakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Agensi di bawah Hal Ehwal Agama telah menyalurkan bantuan awal termasuk sokongan kepada sekolah agama Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) susulan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, bantuan tersebut melibatkan keperluan pendidikan selain bantuan asas kepada mangsa terlibat.

Menurutnya, usaha itu telah digerakkan sejurus kejadian berlaku bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan pembelajaran anak-anak mangsa tidak terjejas.

“Kita telah pun membantu dari sudut kelas-kelas Kafa agama selain menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turun ke Sandakan pada Selasa ini bagi menyampaikan bantuan tambahan termasuk kepada institusi pendidikan agama terlibat.

“Apabila kita turun, kita mahu pastikan maklumat lengkap diperoleh supaya bantuan dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Tambah beliau, antara agensi terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tabung Haji serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita galakkan semua agensi agama untuk bersama-sama membantu termasuk dalam memastikan aspek pendidikan agama terus diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan institusi pendidikan agama seperti KAFA dapat terus beroperasi walaupun berdepan situasi bencana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN