KAJANG – Kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan tong gas yang berlaku di KM 6.4 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), semalam, mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.33 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori tersebut dipandu lelaki warga asing berusia 26 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 49 tahun yang juga bukan warga negara ketika melalui laluan berselekoh menuruni bukit.
“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas, terbalik beberapa kali dan melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, penumpang tercampak ke seberang jalan dan mengalami kecederaan serta kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu didapati negatif dadah dan tiada kebocoran gas atau kebakaran berlaku.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pihak syarikat turut dipanggil bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam Kosmo! Online melaporkan, satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori yang membawa muatan tong gas dipercayai telah berlaku di Balakong.
Impak daripada kemalangan itu, menyebabkan bahan api yang dibawa bertaburan di atas jalan raya selain salah seorang pekerja terlibat turut tercampak ke laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE














