fbpx
Hussein

Jeli ganja belum dikesan di pasaran tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis mengesahkan setakat ini tiada penemuan penjualan gula-gula jeli mengandungi ganja dalam pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, produk berkenaan tidak dikesan di Malaysia, sebaliknya dilaporkan wujud di Thailand.

Menurut beliau, pihaknya terus memperkukuh risikan serta penguatkuasaan bagi membanteras sebarang cubaan membawa masuk dadah ke dalam negara.

“Pemantauan turut dilakukan terhadap produk gula-gula seperti ini bagi mengelakkan ia menular dalam pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Sungai Putat, Melaka, beliau memaklumkan setakat ini belum ada pengesahan sama ada mangsa mengambil gula-gula jenis tersebut.

Katanya, siasatan masih berjalan dan tiada sebarang saki-baki jeli atau gula-gula ditemui ketika serbuan di kediaman terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan selepas kanak-kanak berkenaan didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu direman tujuh hari bermula 16 April sebelum tempoh tahanan dilanjutkan lima hari lagi hingga 27 April.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Melaka kira-kira pukul 5 petang pada 14 April dalam keadaan separa sedar, sebelum ujian air kencing mengesahkan kehadiran THC.

Kanak-kanak itu turut menerima bantuan pernafasan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 11 April.

Suspek yang tinggal bersama ibunya, iaitu pengasuh mangsa, mendakwa gula-gula disyaki mengandungi dadah tersebut disimpan dalam peti sejuk sebelum dimakan oleh kanak-kanak berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN