Soalan pada tajuk ruangan Kata Editor kali ini perlu ditanya terutamanya penjual barangan mewah kepada pelanggan mereka sekiranya benar rakyat ingin membantu Malaysia bebas rasuah.
Penjual perlu berkelakuan seperti penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan duit yang digunakan diperoleh melalui transaksi disahkan benar.
Penjual kereta mewah misalnya perlu bertanya dan mendapatkan penyata akaun bank pembeli sebelum melakukan urus niaga.
Mereka kena jadi seperti pegawai penyiasat supaya pelaku rasuah merasa cemas dan takut untuk berbelanja sewenang-wenangnya menggunakan wang haram.
Namun, bersediakah penjual untuk melupakan keuntungan dengan berbuat demikian sekiranya mereka ini berhasrat melihat Malaysia bebas rasuah?
Sudah tentu peniaga tidak mahu menanggung rugi melepaskan pelanggan yang membawa duit bertimbun ke dalam akaun mereka.
Selalu yang kita dengar, selepas SPRM menangkap atau menahan reman individu terlibat, barulah terbongkar segala kekayaan mereka seperti memiliki rumah, wang, barang kemas dan kereta mewah.
Seperti apa yang berlaku baru-baru ini amat memeranjatkan kita.
Mereka yang terlibat dalam pengurusan badan bukan kerajaan disyaki mengutip dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu disyaki menyeleweng sehingga RM230 juta.
Hasil perbuatan yang dikesan berlaku dari 2018 hingga 2024 itu dapat menghimpunkan pelbagai harta termasuk 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes selain rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.
Selain itu, SPRM turut menyita pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama serta membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.
Pembongkaran demi pembongkaran SPRM menyedarkan kita bahawa gejala rasuah sememangnya sudah lama berakar umbi di negara ini.
Mereka yang gelap mata sudah pasti terjebak sekiranya terdapat ruang dan peluang mengambil rasuah.
Namun, operasi agresif yang dilakukan mungkin mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak apabila merasakan kantung yang hendak dipenuhkan telah diganggu.
Maka bermulalah maklumat tidak benar, fitnah dan pembohongan disebarkan melalui media sosial yang lebih cepat sampai kepada orang ramai.
Oleh itu amat penting pihak berkuasa mempunyai pasukan menjawab segala tohmahan berdasarkan fakta dan info yang menarik.
Sekiranya rasuah dihapuskan, sudah pasti negara kita akan berada dalam suasana yang lebih aman dan keadilan dapat dirasakan oleh semua lapisan.
Berbalik kepada persoalan di awal tadi, bersediakah kita bekerjasama? Sesungguhnya persoalan itu mudah diucapkan tetapi amat berat untuk dilaksanakan.
















