SEBERANG PERAI – Seorang pengarah syarikat pembuatan perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.4 juta dua tahun lalu.
Tertuduh, Ch’ng Chen Mong, 58, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah MG Furniture Sdn. Bhd. yang diamanahkan menguruskan harta syarikat didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM1.412 juta di sebuah bank di Jalan Sungai Bakap antara 24 Julai hingga 6 September 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi manakala tertuduh diwakili peguam, S. Navindran.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri setiap bulan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Jun depan. – KOSMO! ONLINE














