Sufaira Anuwar dilapor hilang sejak keluar rumah Selasa lalu
Oleh MOHD FAHMI ISMAIL
AMPANG – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Muda Cheras di sini sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga Myanmar kira-kira pukul 11 pagi pada Rabu lalu.
Menurutnya, orang hilang dikenali sebagai Sufaira Anuwar Jamil dipercayai keluar dari rumah untuk mengambil barang di kediaman rakannya sebelum disyaki mengikut seorang lelaki.
“Remaja itu kali terakhir dilihat di alamat No. 132, Jalan Bunga Kemboja 3, Taman Muda Cheras. Mangsa berketinggian 148 sentimeter dan berat sekitar 40 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau pegawai penyiasat, SM Nolee Mohd Azemi di talian 011-1025 0165. – KOSMO! ONLINE














