BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang warga Israel di Phuket kerana mengendalikan agensi pelancongan secara haram dengan menggunakan identiti penduduk tempatan, lapor laman berita Thaiger.
Pegawai dari Jabatan Pelancongan dan Polis Pelancong sebelum itu menyiasat agensi pelancongan haram di Phuket dan mendapati dua syarikat melanggar undang-undang.
Syarikat pertama, Gmat Hospitality didapati beroperasi dengan mengubah struktur lembaga pengarahnya setelah menerima lesen operasi.
Ia didapati mempunyai dua pengarah iaitu seorang warga Thai dan seorang warga Israel.
Menurut laporan di laman Facebook Phuket Times, Gmat Hospitality tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk perniagaan pelancongan di Thailand.
Di bawah Seksyen 17(1) Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancongan, lebih separuh daripada pengarah syarikat pelancongan mestilah terdiri daripada warga Thailand.
Polis menahan warga Israel yang disenaraikan dalam lembaga pengarah syarikat itu, tetapi pegawai tidak mendedahkan identiti suspek.
Di bawah Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancongan, pelanggaran Seksyen 17(1) boleh menyebabkan pembatalan lesen perniagaan.
Mereka yang terlibat dalam mengendalikan perniagaan melalui penama boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda 100,000 baht hingga 500,000 baht (RM12,200 hingga RM61,000) atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, syarikat kedua, Andaman Sunday didapati melakukan kesalahan dengan beroperasi dari lokasi yang berbeza daripada yang dilaporkan kepada pegawai semasa memohon lesen.
Kesalahan itu membawa denda sehingga 500,000 baht. – AGENSI














