fbpx
SHIMA sanggup menggadai barangan kemas untuk membantu suaminya melunaskan hutang selepas ditipu oleh bomoh tarik duit. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Suami gagal bayar balik hutang isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN sudah lebih 25 tahun berlalu, namun masih segar dalam ingatan Shima (bukan nama sebenar) tentang bagaimana rumah tangga yang dibina dengan suami tercinta terlerai.

Dia yang pada ketika itu berusia hujung 20-an mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya disebabkan hutang.

Menurutnya, perkahwinan mereka musnah disebabkan sikap suaminya yang tamak dan ingin kaya dengan segera.

“Dia (suami) terpengaruh dengan seorang bomoh yang mempunyai keupayaan tarik duit dari alam ghaib.

“Akhirnya, dia ditipu dan mengalami kerugian hampir belasan ribu ringgit pada waktu itu,” katanya.

Menurut Shima, suaminya terpengaruh dengan bomoh tersebut setelah mengikuti salah seorang rakan.

Hal ini selepas suaminya melihat rakannya itu mendapat keuntungan dua kali ganda daripada wang pendahuluan yang diserahkan kepada bomoh tersebut.

Disebabkan itu, suaminya menaruh hasrat untuk mengikut ritual yang sama dengan meminjam wang daripada Shima.

“Dia meminjam RM2,000 daripada saya dengan alasan untuk membantu kawannya yang sedang berada dalam kesusahan.

“Saya tidak bertanya banyak, dan terus memberi pinjaman. Saya tidak syak sama sekali dia akan menipu saya,” jelas Shima.

Seminggu selepas itu, suaminya memulangkan kembali separuh daripada wang yang dipinjamkan itu.

Pada masa sama, Shima mula sedar bahawa suaminya sering keluar pada malam Jumaat dan pulang pada awal pagi.

Setelah bertanya, suaminya memberitahu, dia ada mengikuti ritual tarik wang bersama seorang bomoh.

“Saya ada berpesan kepadanya supaya tidak mudah percaya kepada ritual tersebut. Hal ini kerana wang tidak datang dengan cara mudah.

“Namun dia langsung tidak mempedulikan saya. Sebaliknya, suami meminta saya supaya tidak menumpang kesenangannya selepas dia kaya kelak,” ujarnya.

Beberapa bulan selepas itu, Shima menyedari bahawa suaminya sebenarnya telah ditipu oleh bomoh tersebut.

Manakala, wang pendahuluan yang digunakan untuk ritual tarik wang tersebut telah hilang.

Shima mengetahui hal tersebut selepas ada salah seorang abang iparnya datang ke rumah untuk bertanyakan tentang keberadaan suaminya.

“Pada ketika itu, suami saya tidak ada di rumah. Menurut abang ipar saya, suami saya ada meminjam wang daripadanya dan berjanji untuk membayar kembali.

“Namun janji hanya tinggal janji, suami saya gagal membayar hutang itu kembali,” katanya yang kini berusia 50-an.

Bukan itu sahaja, ada rakan-rakan suami Shima turut datang ke rumahnya untuk menuntut kembali duit mereka.

“Saya amat tertekan pada ketika itu. Saya ada bertanyakan hal tersebut kepada suami dan meminta dia untuk berterus terang.

“Dia akhirnya mengakui telah ditipu dan bomoh tarik duit berkenaan telah hilang tanpa berita,” katanya.

Disebabkan itu, suaminya rasa tertekan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar kembali duit yang dipinjam daripada abangnya dan rakan-rakan.

Menurut Shima, suaminya ada meminta dia membantu menyelesaikan semua hutang berkenaan yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Tambahnya, dia sanggup menggadaikan barang kemasnya dan meminjam daripada ahli keluarga terdekat untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

Bagaimanapun, Shima memberi syarat dengan meminta suaminya menebuskan kembali barangan kemas yang telah digadaikan itu dan membayar kembali wang dipinjamkan daripada ahli keluarga.

“Suami berjaya selesaikan hutangnya kepada rakan-rakan dan abangnya.

“Namun tahun berganti tahun, suami saya langsung tidak berusaha untuk menebus kembali barangan kemas dan membayar duit dipinjam.

“Apabila saya bersuara, dia pula yang memarahi saya.

“Dia (suami) hanya mampu cakap, kalau ada duit nanti baru boleh bayar.

“Namun saya tidak melihat dia bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutangnya kepada saya,” katanya.

Selepas beberapa tahun, suami Shima masih gagal menunaikan janjinya itu.

Disebabkan itu, Shima hilang sabar dan berasa ditipu oleh suaminya.

Rentetan itu, dia nekad untuk menuntut cerai di salah sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN