SKUAD bawah 17 tahun (B-17) negara memiliki peluang keemasan untuk melunaskan dendam kepada Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi final Kejuaraan B-17 Asean di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, malam ini.
Selain memburu kemenangan, skuad kendalian Shukor Adan juga boleh menebus aib dua kali ditewaskan Vietnam 0-4 pada pusingan kelayakan Piala Asia B-17, November tahun lalu dan perlawanan peringkat Kumpulan A Kejuaraan B-17 Asean, 13 April lalu.
Walaupun berdasarkan statistik kelebihan berpihak kepada pasukan lawan, pemain muda negara kini pastinya sedang bermotivasi dan berada pada momentum terbaik untuk menghadirkan cerita manis.
Rekod lampau juga membuktikan skuad muda negara layak dilabel sebagai pakar final bagi kejohanan ini selepas memiliki rekod 100 peratus dengan bergelar juara dalam dua penampilan di final pada edisi 2013 dan 2019.
Rekod dan kualiti yang dijelmakan pemain Malaysia ketika ini turut mencetuskan kebimbangan buat Vietnam yang lebih selesa mengambil sikap waspada bagi mengelak berlaku kejutan sekali gus menyekat hasrat menjulang trofi itu buat kali keempat.
“Kami masih mempunyai perlawanan penting dan seluruh pasukan perlu mengekalkan fokus serta bersiap sedia untuk menjelmakan aksi terbaik di perlawanan akhir.
“Malaysia pasti akan menghadapi perlawanan akhir ini dengan mentaliti berbeza. Oleh itu, kami kena menyiapkan diri kami dengan lebih baik dan tidak boleh sesekali leka,” kata pengendali Vietnam, Cristiano Roland.














