RAWANG – Masih belum bernoktah, mahkamah di sini hari ini menangguh prosiding pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red terhadap bekas isterinya yang juga penyanyi Adira Suhaimi pada 25 Jun depan.
Perkara tersebut diputuskan Hakim Nurul Hidayah Jani selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini.
Menurut peguam syarie yang mewakili Red iaitu Nor Haiza Marina Mat Ramli dan Muhammad Akmal Amzan, perbicaraan hari ini adalah keterangan daripada pihak plaintif berhubung pengesahan lafaz rujuk.
“Hari ini telah selesai diadakan perbicaraan tertutup, keterangan plaintif secara jelas dan terperinci berkenaan dengan lafaz rujuk yang dibuat pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian dengan Adira dulu.
“Prosiding hari ini kami tidak akan kemukakan saksi dan tarikh akan datang adalah pada 25 Jun depan bagi menyambung perbicaraan pihak defendan iaitu Adira,” katanya.
Sementara itu, Adira, 35, pula hari ini diwakili peguam syarie Nor Saidah Zakaria.
Pihaknya akan memberi keterangan dan hujah pada prosiding seterusnya dan mengemukakan abangnya sebagai saksi.
Terdahulu, Red pada 20 Januari lalu menegaskan tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk bukan disebabkan masih berharap dapat kembali kepada bekas isterinya.
Ujarnya, permohonan tersebut bagi memastikan sama ada lafaz rujuk yang berlaku sah mengikut hukum atau sebaliknya selain menepis dakwaan dirinya ‘gila talak’.
Sementara, Adira pula menafikan dakwaan terjadinya lafaz rujuk dengan Red yang didakwa berlaku pada Mei 2024.
Pihaknya menegaskan pengesahan lafaz rujuk yang didakwa berlaku secara lisan itu tidak diketahui selebriti itu selaku defendan.
Sebelum itu, Red memfailkan pengesahan rujuk pada Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE














