WASHINGTON – Seorang pegawai antikeganasan Presiden Donald Trump digantung tugas selepas didakwa menjadi perempuan simpanan kepada lelaki kaya untuk membiayai gaya hidupnya, lapor akhbar Metro UK semalam.
Julia Varvaro, 29, dikenakan cuti pentadbiran daripada peranannya sebagai Timbalan Penolong Setiausaha bagi Antikeganasan, selepas siasatan dilakukan ke atas profil platform temu janji ‘sugar daddy’, Seeking.
Sumber Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memberitahu akhbar Daily Mail: “Julia Varvaro dikenakan cuti pentadbiran ekoran siasatan dan dia tidak lagi berkhidmat dalam kapasitinya sebagai Timbalan Penolong Setiausaha di DHS.”
Seorang lelaki dikenali sebagai Robert B membuat aduan rasmi kepada DHS dan mendakwa bahawa Varvaro mempunyai profil di laman ‘sugar daddy’, Seeking, di mana dia memperkenalkan dirinya sebagai Alessia.
Bercakap kepada Daily Mail, Robert mendakwa, dia telah membelanjakan kira-kira AS$40,000 (RM158,000) untuk Varvaro selepas bertemu dengan wanita tersebut di satu lagi aplikasi janji temu, Hinge dan berpacaran selama beberapa bulan.
“Saya tidak mahu hubungan ‘sugar daddy’ atau pelacuran selepas membelanjakan AS$30,000 (RM120,000) hingga AS$40,000 untuk percutian, barang kemas Cartier, beg tangan mahal dan pelbagai perjalanan membeli-belah,” kata Robert dalam aduan rasminya.
Varvaro bagaimanapun menafikan salah laku tersebut. – AGENSI














