KUALA LUMPUR – Dialog Perniagaan Sarajevo 2026 (SBD 2026) telah dilancarkan dengan rasmi bersempena majlis sambutan Hari Raya anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia & Herzegovina (MBBC) baru-baru ini.
Dialog itu adalah satu pencapaian penting bagi dewan perniagaan tersebut sebagai usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin utama hubungan ekonomi Malaysia-Bosnia & Herzegovina di peringkat serantau dan global.
Menurut kenyataan yang diedarkan bersempena majlis tersebut, Sarajevo Business Dialogue 2024, edisi 2026 bakal menjadi platform yang lebih komprehensif dan berorientasikan hasil.
Ia turut mendapat sambutan baik dan bakal menghimpunkan ramai peserta berprofil tinggi melibatkan wakil kerajaan, pemimpin industri, pelabur serta usahawan dari Malaysia, Bosnia & Herzegovina dan rantau Balkan secara keseluruhan.
“Inisiatif ini dilihat berpotensi besar dalam membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik rentas sempadan, selaras dengan aspirasi MBBC untuk memperluas jejaknya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam merangkap Penaung MBBC.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha MBBC dalam memperluas kerjasama ekonomi serta memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina.
Mohd Ali dalam ucapannya menegaskan kepentingan kerjasama strategik yang mampan serta peranan sektor swasta dalam merancakkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. -KOSMO! ONLINE














