CHANGLUN – Warga asing yang menjalankan perkhidmatan kereta sapu bertindak licik apabila menggunakan kad pengenalan (MyKad) pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membeli petrol bersubsidi menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) pada harga RM1.99 seliter.
Sebagai ganjaran, pemandu yang dipercayai dari negara Afrika itu menawarkan tambang percuma atau diskaun ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.
Perkara itu dikongsikan orang awam yang mendakwa melihat sendiri seorang pelajar perempuan dipercayai membuat bayaran menggunakan MyKad miliknya untuk mengisi petrol sebuah kereta sapu.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Changlun pada pukul 12.41 tengah hari kelmarin.
“Kepada prebet sapu foreigner (warga asing), awak ‘rembat’ IC (MyKad) pelajar untuk guna Budi95. Sudah tersebar satu minggu dah dalam kalangan students (pelajar). Saya tak sangka hari ini (kelmarin) saya sendiri nampak depan mata,” kata pengguna TikTok, Emcee Syafiq.
Menurutnya, kenyataan itu turut disokong pelajar tersebut yang turut mengaku membantu mengisi petrol untuk kereta sapu jenis Proton Saga FLX.
“Saya tanya tadi, isikan (petrol) untuk kereta sapu ke dan awak (pelajar) jawab ya. Ini boleh dijadikan bukti (pengakuan). Tolong jangan terbabit dengan kesalahan undang-undang,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Lelaki itu turut memberi amaran kepada prebet sapu yang menggunakan nombor pendaftaran negeri jiran agar tidak mengulangi perbuatan sama atau berdepan tindakan sekiranya perkara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Meninjau ke ruangan komen, individu sama turut mendakwa pemandu kereta sapu itu sebelum ini pernah meminta menggunakan kuota petrol pelajar lain, namun ditolak.
“Sebelum ini ada pelajar yang tolak dan pemandu (prebet sapu) itu tidak paksa pun. Ini kes pemandu offer free trip (tawar perjalanan percuma) sebagai pulangan bantu guna Budi95,” dakwanya.
Sementara itu, seorang pelajar IPT yang enggan dikenali memaklumkan, kegiatan tersebut dikatakan berlaku sejak seminggu lalu.
“Sudah hampir seminggu kereta sapu warga asing ini minta pinjamkan IC pelajar untuk mengisi minyak harga subsidi, kemudian dia (pemandu) buat deal (tawarab) pulangan.
“Pelajar tidak perlu bayar (tambang) sebagai pulangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut pelajar itu, isian petrol RON95 biasanya dilakukan di stesen-stesen minyak sekitar Changlun dan perjalanan penghantaran penumpang pula di sekitar kawasan ini dan di dalam kampus.
“Ada beberapa kereta yang buat (perkhidmatan) kereta sapu, namun saya tidak pasti warga asing dari negara mana. Mereka hanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan kenderaan yang digunakan adalah kereta lama dan harganya murah,” ujarnya.
Dakwanya, setiap penumpang akan dikenakan bayaran RM5 bagi setiap perjalanan dalam kampus dengan masa perjalanan kira-kira lima minit.
“Perkhidmatan kereta sapu ini sudah lama, cuma yang guna MyKad penumpang untuk beli petrol bersubsidi baru berlaku dalam seminggu kebelakangan ini,” katanya.
Dia mendakwa, ramai pelajar mengetahui tentang kegiatan kereta sapu itu dan ada yang mengelak menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Mereka pandu laju,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna media sosial Mintbento turut berkongsi modus operandi sama prebet sapu meminta kad pengenalan untuk membeli petrol bersubsidi di stesen minyak.
“Saya pun kena, naik kereta Kia hitam. Tidak ada peras ugut, tetapi dia sibuk nak IC sebab nak isi Budi95. Selamatlah aku tak dapat Budi95. Dahlah harga lain, tetapi bila nak bayar cakap lain,” katanya.
Pengguna lain pula memaklumkan pemandu kenderaan sapu itu merupakan warga asing dari negara Afrika.
Seorang lagi pengguna, Strawberrylemonade berkata, “Ya, kawan saya kena, tetapi mereka tidak bagi IC. Siap tanya ada lesen tak dan nak pinjam IC semasa isi minyak dan tawarkan diskaun untuk harga (kereta) sapu.
“Students please (tolong) jangan bagi IC walaupun dia ugut nak tinggalkan awak di tepi jalan. Jangan mudah kena sogok hanya disebabkan diskaun yang tidak seberapa itu,” katanya.
Aquarius Byotchhh pula mendakwa pemandu warga asing tersebut memandu secara berbahaya.
“Takutnya, sumpah selalu perasan plat (kereta) ini sebab dia bawa kereta pun bahaya ya.” ujarnya
Seorang lagi pengguna media sosial, Fiqq memaklumkan, pemandu kereta sapu mengenakan caj RM5 bagi setiap penumpang.
“Satu order (tempahan) caj RM5, selepas itu ambil orang lain caj RM5 lagi satu kereta sama,” katanya.














