LONDON – Pihak pengurusan Arsenal dikatakan sudah mula menyediakan senarai nama calon bagi menggantikan pengurus, Mikel Arteta sekiranya mereka menamatkan saingan musim ini dengan ‘tangan kosong’.
Secara umumnya, pengendali dari Sepanyol itu dianggap sudah melakukan tugas yang sangat baik sejak dilantik pada 2019 apabila berjaya mengubah The Gunners menjadi antara pasukan terbaik di Eropah.
Bagaimanapun, aksi cemerlang itu dianggap seperti sia-sia apabila mereka terus gagal untuk mendakap sebarang trofi sejak 2020 biarpun beberapa kali mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Musim ini, skrip tersebut seolah-olah akan berulang apabila diberikan cabaran sengit oleh Manchester City yang mula menunjukkan kebangkitan bagi merampas semula gelaran sebagai juara liga.
Pada awal saingan 2025/26, Arsenal dilabelkan sebagai pasukan pilihan untuk merah gelaran quadruple apabila menampilkan aksi cemerlang dalam semua pertandingan, namun satu demi satu mula terlepas daripada genggaman.
Ketika ini, hanya gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara (UCL) menjadi harapan untuk Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan, namun misi itu juga tidak mudah kerana berdepan cabaran cukup sukar.
Difahamkan, sekiranya The Gunners gagal memenangi sebarang trofi musim ini, Arteta mungkin ditunjukkan jalan keluar dengan jurulatih Como, Cesc Fabregas disebut-sebut bakal mengambil alih tugas tersebut. – AGENSI














