fbpx
Hafiz pada sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Diperdaya rakan kongsi gelap, ‘kerja’ jadi scammer di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat pemuda dari Ayer Baloi, Pontian, Johor melalui detik hitam apabila diperdaya tawaran kerja lumayan sebelum dipaksa menjadi scammer di Kemboja selepas menyertai kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Angkatan Taat Setia (ATS).

Setiausaha Agung Malaysia International Humaitarian Organisastion (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mereka yang merupakan rakan sekampung direkrut seorang individu dikenali sebagai ‘Mr. A’ sebelum dibawa bertemu seorang ketua dikenali sebagai ‘Daddy T’ yang kemudian menawarkan pekerjaan di Laos dengan alasan hanya perlu ‘ikut skrip’.

“Tanpa menyedari helah sindiket, kesemua mangsa bersetuju dan diarahkan menipu keluarga dengan memaklumkan mereka bekerja di Singapura, sebelum dibawa ke rumah transit dan seterusnya ke KLIA,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue, hari ini.
Mangsa kemudian diterbangkan ke Siem Reap, Kemboja sebelum melalui perjalanan hampir lapan jam ke Sihanoukville, lokasi sebenar mereka dipaksa bekerja sebagai scammer yang menyasarkan rakyat Malaysia.

Salah seorang mangsa, Muhammad Hafiz, 21, berkata mereka dipaksa menjalankan ‘love scam’ termasuk menyamar sebagai wanita dan perlu mencapai sasaran tertentu.

“Kalau tak capai KPI atau tak ikut arahan, kami akan dipukul. Saya pernah kena sebab tertidur depan komputer. Saya sempat bekerja dua bulan dan hanya berjaya menipu seorang mangsa kira-kira RM500,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai pilihan selain akur kerana bimbang keselamatan diri selain dikawal ketat oleh sindiket yang dikatakan diuruskan individu warga Malaysia.

Dalam usaha menyelamatkan diri, mangsa bertindak menghubungi keluarga secara sembunyi sebelum ibu salah seorang mangsa mendapatkan bantuan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO).

Susulan itu, satu sidang media diadakan pada 17 Mac lalu sebelum maklumat disalurkan kepada wakil MHO, Azirul Syafiq dan Task Force Human Trafficking di Kemboja bagi melancarkan operasi menyelamat.

Bimbang kegiatan mereka terbongkar, sindiket bertindak memindahkan mangsa ke sebuah hotel sebelum mereka berjaya melarikan diri ke sebuah surau berhampiran.

Mangsa kemudian diselamatkan oleh pasukan MHO sebelum dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN