PETALING JAYA – Taktik terbaharu sindiket penipuan (scam) yang menggunakan modus operandi ‘salah pindahan wang’ ke dalam akaun bank mangsa semakin berleluasa sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Amir.Mohammadk8 berkata, sindiket ini akan memulakan tindakan dengan memindahkan sejumlah wang secara tiba-tiba ke dalam akaun bank mangsa.
“Bayangkan tiba-tiba ada RM5,000 masuk dalam akaun bank kau. Seminit selepas itu, ada orang telefon kata dia tersalah pindahkan wang dan minta kau pulangkan duit tersebut.
“Kau pun tiada awareness (kesedaran) pasal taktik ini, jadi kau pun pindahkan baik wang tersebut,” katanya.
Menurutnya, kesilapan ini kelihatan seperti biasa tetapi sebenarnya wang yang dipindahkan tadi adalah pinjaman menggunakan butiran peribadi dan MyKad mangsa.
“Scammer (penipu) itu sebenarnya dah guna IC dan maklumat kau untuk buat pinjaman. Duit yang kau pulangkan itu sebenarnya kau pulangkan kepada scammer,” ujarnya.
“Dan pinjaman itu? Atas nama kau dan hutang kau. Scammer hilang jadi kau yang kena bayar dan tanggung,” tambahnya lagi.
Menyedari ramai yang akan ditipu dan terperangkap, pengguna tersebut turut berkongsi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya menerima panggilan sedemikian.
“Jangan panik dan jangan layan bila dia mula mendesak. Scammer memang akan buat kita rasa terburu-buru supaya kita tak sempat berfikir panjang.
“Paling penting, jangan pindahkan walau sesen pun. Walaupun alasan mereka nampak sahih atau sedih, memulangkan wang tersebut secara manual bukan tanggungjawab anda,” tegasnya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya, dia menyarankan agar segera menghubungi pihak bank melalui saluran rasmi dan membuat laporan polis sebagai cubaan penipuan.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang transaksi mencurigakan dan sentiasa menyemak baki akaun secara berkala bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa manipulasi identiti oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE














