KUALA LUMPUR – Pempengaruh yang juga personaliti versatil media sosial Ceddy Ang menyifatkan sikap saling memahami antara artis dan peminat adalah penting bagi memastikan hubungan baik terus terjalin sekali gus mengelak berlaku salah faham termasuk dilabel sombong.
Menurut Ceddy, 37, sikal tersebut perlu ada dalam diri setiap individu kerana tidak kira artis mahu pun khalayak pasti tidak terlepas daripada berdepan dengan hari yang kurang baik hingga menjejaskan emosi.
“Kadang-kadang artis pun ada ‘bad day’, jadi untuk label mereka sombong pun tidak baik. Bagi saya, dua-dua pihak (artis dan peminat) kena ada empati.
“Cuma artis pun kena faham, walaupun ada ‘bad day’ tapi kalau peminat teruja nak jumpa, kenapa buat muka? Awak tetap kena layan.
“Peminat pula kena faham, kalau emosi artis tu tak okey semasa berjumpa, bagi dia peluang. Masing-masing kena faham situasi masing-masing,” katanya ketika ditemui pada pelancaran single Asal Ada Kamu di sini, semalam.
Dalam masa sama, dia juga berpendapat setiap artis sepatutnya memberi layanan yang baik memandangkan peminat adalah antara individu penting dalam membentuk kerjaya seni mereka.
“Setiap kali saya keluar, orang pasti akan tegur dan tipulah kalau tiada hari di mana tiada ‘mood’ langsung disebabkan bimbang dengan banyak hal lain.
“Tetapi kalau ada orang yang betul-betul minat nak ambil gambar dengan awak, saya rasa sebagai seorang ‘public figure’ awak kena layan juga. Tanpa peminat, awak tidak akan ke mana,” ujarnya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak pernah dilabel sebagai artis sombong kerana suka meluangkan masa berinteraksi dengan peminat.
“Saya pula jenis kalau jumpa peminat, pasti akan berbual panjang dengan mereka sampai jadi macam sesi podcast.
“Kalau perlu cepat dan ada urusan pun, saya akan minta maaf tapi tidak menolak kalau diajak bergambar,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Ceddy muncul dengan single kedua berjudul Asal Ada Kamu, yang mengangkat elemen retro dengan sentuhan istimewa daripada Bo Amir dan MimiFly. – KOSMO! ONLINE














