PETALING JAYA – Niat murni pemuda Cina yang mahu menunaikan janji menyerahkan wang hasil ‘gift’ orang ramai ketika membuat siaran langsung di TikTok kepada seorang mekanik motosikal berakhir dengan situasi tidak dijangka, apabila sumbangan tersebut disalurkan semula kepada keluarganya.
Mekanik itu, Mohd Yusof Mohamed Noor menerusi akaun Facebooknya, Minyak Hitam Jalanan, berkongsi cerita apabila hari ini dia menerima panggilan daripada Dicky yang pernah dibantunya sebelum ini.
Menurutnya, pemuda tersebut menghubunginya pada sebelah pagi dan menyatakan hasrat untuk bertemu pada waktu petang bagi menyerahkan sebahagian wang ‘gift’ yang diterimanya.
“Dia kata nak jumpa saya sebab dah janji dalam siaran langsung, duit ‘gift’ yang dia dapat nak bagi kepada saya supaya saya boleh bantu orang lain pula,” katanya.
Namun, Mohd Yusof atau lebih mesra disapa Usop berkata, dia pada awalnya menolak pemberian tersebut kerana berpendapat wang berkenaan lebih wajar digunakan oleh lelaki itu sendiri.
“Saya cakap tak perlu bagi saya, guna sahaja duit itu untuk kegunaan dia dan anak, tapi dia tetap berkeras sebab katanya sudah berjanji,” jelasnya.
Kata Usop, Dicky memaklumkan jumlah ‘gift’ yang diterima adalah kira-kira RM5,000 dan dia berhasrat menyerahkan RM3,000 kepadanya, manakala selebihnya mahu dihantar ke kampung bagi perbelanjaan persekolahan anak pemuda itu.
Berasa serba salah, Usop kemudian mendapatkan pandangan isterinya sebelum membuat keputusan menerima wang tersebut dengan niat untuk mengembalikannya semula kepada keluarga lelaki itu.
“Aku ambil pendapat isteri aku, isteri aku cakap, abang ambil duit tu, lepas tu abang infaq dekat anak dia pula, okey baik,” katany.
Tambahnya, dia hanya menjalankan amanah yang diberikan dan tidak mahu timbul salah faham berhubung pengurusan wang sumbangan orang ramai.
“Saya cume jalankan amanah orang infaq dan kerja saya, duit infaq ini bukan boleh main-main kalau salah jalan habis nanti, lagi satu, saya tak nak duit infaq bnyk-banyak dekat saya, cukup la yang ada, sebab duit ini jahat, boleh gelap mata nanti. Terima kasih semua yang mendoakan kami, semoga video ini dapat pengajaran bagi kita semua. Insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pemuda Cina itu bertekad untuk membalas kebaikan yang diterimanya dengan membantu orang lain, selepas insiden motosikalnya rosak di tepi jalan baru-baru ini.
Menurutnya, dia bercadang menjejaki semula individu yang membaiki motosikalnya secara percuma bagi membayar kos berkenaan supaya bantuan itu dapat diteruskan kepada mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, kisah Dicky dan Usop mendapat perhatian pelbagai pihak apabila mekanik tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran selepas selesai membaiki motor pemudia Cina itu kerana masih mempunyai baki duit sumbangan infak orang ramai. – KOSMO! ONLINE














