fbpx
Saifuddin Nasution pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Satu Buah Multi Purpose Mission Ship Kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Bangunan Setia Perkasa, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Kebakaran Kampung Bahagia: Kerajaan tidak akan ‘pukul borong’ ganti dokumen mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meneliti satu persatu kes penggantian dokumen pengenalan diri bagi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan bagi memastikan ia diberikan kepada yang layak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan mengambil pendekatan ‘pukul borong’ dalam menangani isu pemilikan dokumen dalam kalangan mangsa kebakaran itu.

Beliau berkata, setiap kes akan diteliti secara individu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan bantuan penggantian dokumen.

“Keutamaan kerajaan kerajaan ketika ini adalah menyediakan pusat pemindahan sementara kepada lebih 9,000 mangsa yang terjejas melibatkan lebih 1,000 rumah atas air.

“Buat masa ini, proses pendaftaran mangsa sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bersama agensi negeri dan Persekutuan, termasuk mengenal pasti status dokumen pengenalan diri setiap individu.

“Dalam proses pendaftaran itu, kalau kita temui individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu.

“Kita tidak boleh membuat kenyataan umum kerana soal pemilikan dokumen ini sangat penting. Pada masa sama, ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mereka yang tidak layak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan terdapat mangsa yang tidak mempunyai status kewarganegaraan sah dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya, KDN akan membantu memudahkan urusan penggantian dokumen bagi mangsa yang sah sebagai warganegara, khususnya jika kehilangan dokumen berpunca daripada insiden tersebut.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, bantuan (penggantian dokumen pengenalan diri) itu tidak bermaksud semua mangsa akan secara automatik diberikan dokumen baharu tanpa semakan.

“Kalau insiden itu menyebabkan dokumen hilang, kita akan bantu sediakan dokumen ganti. Tetapi itu bukan bermakna semua mangsa layak secara automatik.

“Kita akan teliti setiap kes bagi memastikan ketepatan dan kelayakan,” katanya.

Dalam insiden awal pagi Ahad lalu, sekurang-kurangnya 8,000 penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah penempatan atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan musnah dalam kebakaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN