fbpx
TANGKAP layar klip video memaparkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan berbahaya.

Pemandu bas tular ambil syabu bawa penumpang dari Perak ke Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang tular kerana memandu secara berbahaya dipercayai mengambil dadah jenis syabu ketika membawa 13 penumpang dari Perak ke Johor Bahru, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, perkara itu terbongkar selepas lelaki terbabit tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, hari ini susulan diburu polis berhubung klip tular berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-kira pukul 3.50 pagi ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Johor Bahru dengan membawa 13 penumpang.

“Rakaman video kejadian itu kemudiannya dikesan tular di media sosial pada 16 April sekitar pukul 1.05 petang.

“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, suspek telah tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor GaJah kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas lelaki tempatan berusia 53 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Dalam soal siasat awal, suspek turut mengaku mengambil dadah jenis syabu sebelum memulakan perjalanan pada hari kejadian.

“Suspek mendakwa mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun sebagai pemandu bas ekspres dan merupakan seorang duda,” katanya.

Ahmad berkata, suspek telah ditahan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor GaJah esok bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kosmo! pada 16 April lalu melaporkan polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres yang disyaki memandu dalam keadaan tidak selamat, susulan tular satu rakaman video di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini.

Video berdurasi kira-kira satu minit 20 saat itu tular memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN