TUGAS Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan sekadar mengisi ‘kerusi panas’ atau simbol, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas timbalan presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang mahu mana-mana individu berminat mengisi jawatan tersebut perlu nyatakan pelan jelas dan bukan sekadar mencuba nasib.
Kata Mohd. Yusoff, walaupun ada nama tokoh korporat dan ahli politik sering dikaitkan, persoalan sebenar adalah sama ada mereka mampu menggalas tekanan serta cabaran yang datang bersama jawatan itu.
“Ini bukan tempat untuk ‘try and error’. Mereka perlu hadir dengan pelan yang jelas, hala tuju tersusun serta kefahaman menyeluruh terhadap ekosistem bola sepak negara,” katanya.
Mengulas lanjut, walaupun beberapa nama tokoh korporat dan ahli politik sering dikaitkan, Mohd. Yusoff percaya persoalan sebenar adalah sama ada mereka mampu menggalas tekanan serta cabaran yang datang bersama jawatan itu.
“Dalam konteks korporat, persoalan utama adalah keupayaan membina hubungan strategik dengan kerajaan dan kementerian berkaitan, selain sanggup atau tidak untuk berkorban dari segi kewangan.
“Ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu, timbul persoalan sama ada mereka mampu menarik penajaan berterusan untuk menyokong visi besar pembangunan bola sepak negara.
“Jika dilihat dari sudut politik pula, ketidakstabilan landskap politik Malaysia turut menimbulkan risiko besar. Perubahan kerajaan boleh memberi kesan kepada kesinambungan dasar dan hala tuju organisasi sukan di peringkat tertinggi,” katanya.
CAPTION: YUSOFF














