LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) belum berakhir, malah baru bermula walaupun The Gunners tewas 1-2 kepada seteru utama, Manchester City, awal pagi semalam.
Kekalahan itu menyaksikan kelebihan sembilan mata dimiliki Arsenal sebelum ini lebur selepas jaringan kemenangan Erling Haaland membuka ruang buat City memintas mereka jika menang ke atas Burnley, Rabu ini.
Bagaimanapun, Arteta kekal optimis apabila menyifatkan baki lima perlawanan sebagai penentu sebenar kejuaraan untuk meneruskan misi menamatkan penantian gelaran juara sejak 2004.
“Liga seperti bermula semula. Mereka ada satu perlawanan dalam tangan, kami mendahului tiga mata dengan lima aksi berbaki, jadi permainan masih terbuka,” katanya.
Menurut Arteta, pemainnya jelas kecewa kerana gagal meraih keputusan positif, namun melihat situasi itu sebagai peluang terakhir untuk bangkit.
“Mereka kecewa, tetapi sedar kami masih ada peluang terbesar dalam lima perlawanan terakhir. Jadi kami perlu bangkit,” katanya.
Arsenal kini berdepan tekanan selepas tewas empat aksi domestik berturut-turut, dengan kemenangan liga terakhir mereka hadir lebih sebulan lalu.
Namun, jadual perlawanan dilihat sedikit memihak kepada skuad The Gunners yang akan melayan Newcastle United, Fulham dan Burnley di laman sendiri, tetapi perlu bertandang ke gelanggang West Ham United serta Crystal Palace.
Arsenal masih kekal di puncak liga dengan 70 mata daripada 33 perlawanan ketika ini, namun mereka dibebani aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid yang berpotensi mengganggu fokus mereka di EPL. – AGENSI














