KUALA LUMPUR – Situasi Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 yang kini berkhidmat di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) masih berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun, pasukan tetap diletakkan dalam kesiapsiagaan tertinggi berikutan situasi tidak menentu di selatan Lubnan.
Katanya, meskipun terdapat persetujuan gencatan senjata, pelanggaran atau provokasi masih berlaku di kawasan terbabit, sekali gus menuntut anggota Malbatt untuk sentiasa waspada.
“Kita sentiasa menekankan kepada pasukan Malbat supaya mengutamakan keselamatan mereka. Bergantung kepada keadaan, jika gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya, mereka akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Bagaimanapun, jika berlaku pelanggaran (gencatan senjata), mereka diarahkan untuk mengambil langkah perlindungan seperti berada di dalam bunker,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pavilion Kementerian Pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.
Mengulas mengenai laporan membabitkan kematian tentera Perancis di kawasan sempadan Lubnan baru-baru ini, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kedudukan semasa pasukan negara berada di zon yang lebih selamat.
“Pasukan Malaysia berada di kedudukan tengah, manakala pasukan dari Indonesia dan Perancis berada lebih dekat dengan sempadan Lubnan-Israel. Namun, kita tidak boleh mengambil mudah kerana ancaman misil dan roket boleh melangkaui sempadan. Sebab itu kita mesti sentiasa berhati-hati,” katanya. – KOSMO! ONLIN














