PETALING JAYA – Tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turun padang membantu penduduk ketika kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, Sabah meraih perhatian ramai di media sosial.
Dalam kejadian awal pagi semalam, ADUN Sekong, Alias Sani dilihat mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan mengoyakkan papan yang mudah terbakar.
Perkongsian oleh pengguna Facebook, Fikri Arunarsin memaparkan detik cemas insiden kebakaran tersebut selain memuji keprihatinan wakil rakyat terbabit yang bertindak tanpa berlengah ketika situasi genting.
“Semoga Allah S.W.T terus mengurniakan kesihatan, kekuatan dan perlindungan kepada YB (Yang Berhormat) Alias Sani ADUN Sekong yang sentiasa turun padang bersama rakyat khususnya ketika berdepan musibah.
“Jasa dan keprihatinan YB amat dihargai dan menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Malah, tindakan Alias turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berani mengambil risiko demi membantu mangsa.
“Dalam keadaan ramai yang sibuk merakam siaran langsung di TikTok pukul 6 pagi tadi, beliau menjerit meminta orang ramai merobohkan struktur tertentu bagi mengelak api daripada merebak dengan cepat. Namun, hanya segelintir sahaja yang tampil membantu,” kata @Eyman Aishaa.
“Beliau merupakan antara wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat. Setiap kali berlaku kejadian, beliau antara yang terawal datang untuk menghulurkan bantuan,” kata @Juliana.
“Ya Allah, api sudah berada di depan mata. Hebatnya usaha anda semua yang berusaha menyelamatkan walaupun harapan kelihatan tipis. Semoga dipermudahkan urusan YB dan semua yang bertungkus-lumus,” kata @Lyn Mazlinah Mokhtar. – KOSMO! ONLINE














