PETALING JAYA – Insiden hujan lebat yang mencetuskan banjir serta keruntuhan sebahagian tembok penahan berhampiran tapak projek di Taman Tun Dr Ismail, di sini semalam dipandang serius oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian itu melibatkan kawasan projek Menyiapkan Baki Kerja Pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan penduduk, pengguna jalan raya serta pengurusan risiko di lokasi terlibat.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku susulan hujan lebat antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek.
“Pemerhatian awal mendapati kapasiti air dari kawasan bukit yang tinggi menyebabkan ban tanah pecah sebelum mengalir ke silt trap 1 (perangkap kelodak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keadaan itu diburukkan apabila sistem saliran awam di bahagian hilir tidak mampu menampung aliran air berkenaan dengan berkesan.
“Selain itu, terdapat halangan utiliti di beberapa bahagian yang menyebabkan air bertakung dan melimpah ke jalan awam, sekali gus memberi tekanan kepada tembok penahan sedia ada hingga mengakibatkan sebahagiannya runtuh bersama papan dendeng,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya menjalankan siasatan teknikal terperinci serta-merta bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, siasatan itu merangkumi penilaian tahap integriti struktur di kawasan terlibat serta cadangan langkah mitigasi tambahan tanpa kompromi.
“Mana-mana kelemahan dari sudut pelaksanaan, penyeliaan, pematuhan teknikal atau pengurusan tapak mesti dikenal pasti dan ditangani segera. KKR tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan keselamatan awam,” tegasnya.
Dalam pada itu, tindakan segera telah diambil termasuk kerja pembersihan kawasan insiden, pembukaan papan dendeng di sepanjang Jalan Abang Haji Openg serta pemasangan ‘concrete barrier’ bersama geotekstil sepanjang kira-kira 200 meter.
Selain itu, kerja-kerja penyahkelodak (desilting) dan baik pulih sistem Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimentasi (ESCP) turut dilaksanakan di tapak pembinaan. – KOSMO! ONLINE














