PETALING JAYA – Beberapa penumpang mendakwa berlaku kelewatan luar biasa bagi urusan tuntutan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik @FaAjiero di aplikasi Thread, dia mendakwa terdapat penumpang terpaksa menunggu sehingga empat jam, namun mereka tetap bersabar walaupun kecewa.
“Empat jam nak tunggu bagasi keluar. Sekejap belt G selepas itu belt A. Ada yang tunggu enam jam, ada yang terlepas penerbangan, ada yang hampir pengsan sebab terlalu lama menunggu,” dakwanya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan gambar suasana sesak di kawasan tuntutan bagasi yang memperlihatkan orang ramai berkumpul sambil menunggu beg masing-masing.
Seorang lagi penumpang @Ghafur_Ismail turut memuat naik hantaran mengenai isu sama apabila terpaksa menunggu lebih dua jam untuk urusan tuntutan bagasi.
“Apa yang dah jadi di KLIA hari ini (semalam)? Orang ramai tunggu lebih dua jam nak dapatkan bagasi. Tempat tuntutan bagasi sesak dengan orang ramai. Memalukan Malaysia apabila pelancong pun mengeluh benda yang sama,” tulisnya.
Sementara itu, di ruangan komen, pihak pengurusan KLIA memaklumkan, gangguan berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menyebabkan sistem pengendalian bagasi terjejas buat sementara waktu, sekali gus mengakibatkan kelewatan tuntutan bagasi.
Menurut kenyataan tersebut, pihaknya memahami kekecewaan penumpang dan bagi mengurangkan kesesakan, mereka dibenarkan meninggalkan lapangan terbang dan kembali semula untuk menuntut bagasi masing-masing.
Katanya, sebarang maklumat terkini akan diberikan dari semasa ke semasa.
“Sistem berkenaan kini telah kembali pulih,” tulis @MalaysiaAirports.
Pihaknya turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan menzahirkan penghargaan atas kesabaran serta pemahaman penumpang.- KOSMO! ONLINE














