SHAH ALAM – Penantian sedekad membuahkan hasil apabila penyanyi Wani Kayrie berjaya meloloskan diri ke Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menerusi lagu Cak Cak Cekuk.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, kelihatan sebak sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Selain Wani, penyanyi asal Sabah, Ryenald Guntabid yang mempertaruhkan lagu Lumangad Oku Dika berjaya menempatkan diri ke AJL40 buat pertama kali.
Sebanyak 10 lagu terbaik berjaya melangkah ke AJL40 diumumkan semasa hari kedua AJL40 separuh akhir (AJL40SA) malam tadi.
AJL edisi 40 bakal menyaksikan persaingan sengit bagi kategori vokal terbaik apabila Aina Abdul dengan lagu Kamu, Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa), Dayang Nurfaizah (Lemah ciptaan Hael Husaini) berjaya ke peringkat seterusnya.
Selain itu, Aisha Retno juga mara menerusi lagu Tak Adil, manakala Hazama (Semacam Pandora) dan Amir Masdi (NurCinta) juga tersenarai.
Turut sama ke AJL40 ialah Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik (Ke Mana Ni) serta K.O.I (Tiwikarma).
Untuk info, 20 buah lagu yang bertanding bagi AJL40SA dinilai beberapa juri yang diketuai Datuk Acis dengan LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis
Dikendalikan Sissy Iman dan Fiza Frizzy, AJL40SA bersiaran secara langsung selama dua hari di TV3 dan Tonton.
Tahun lalu menyaksikan penyanyi Marsha Milan merangkul gelaran juara menerusi lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatana dinobatkan sebagai lagu terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Marsha membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 beserta trofi utama. – KOSMO! ONLINE














