MILAN – Inter Milan makin menghampiri kejuaraan Serie A selepas meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Cagliari pada asi di San Siro, awal pagi semalam.
Semua jaringan Inter dijaringkan pada separuh masa kedua oleh Marcus Thuram, Nicolo Barella dan Piotr Zielinski sekali gus membolehkan mereka mengumpul 78 mata daripada 33 perlawanan.
Barella tampil menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan kali ini terutamanya selepas pasukan terpaksa berdepan cabaran besar sepanjang musim ini.
“Dalam tempoh setahun ini, kami sudah pun melalui detik turun naik dan ia agak menganggu kerana saya sentiasa mahu berada pada tahap terbaik. Sekarang saya dapat merasakannya sekali lagi.
“Saya sentiasa mencuba untuk berikan segala-galanya buat pasukan. Adakalanya minda saya agak terganggu, tetapi buat masa sekarang, saya cukup menikmati detik kemenangan,” katanya.
Ini adalah musim pertama Inter dilatih Cristian Chivu dan kini berpeluang untuk menghadirkan dua kejuaraan termasuk dalam saingan Piala Itali.
Rabu ini, Inter sekali lagi akan bermain di gelanggang sendiri bagi melayan kunjungan Como pada separuh akhir kedua Piala Itali selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama. – AGENSI














