PETALING JAYA – Di saat orang ramai sedang rancak meraikan Aidilfitri bersama keluarga, seorang warga emas masih gigih mencari rezeki dengan menjual aiskrim.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Encikloklok, dia berkongsi momen isterinya menyedari kehadiran seorang pak cik penjual aiskrim yang hanya menunggu di luar pagar rumah mereka.
Menurutnya, pak cik tersebut dilihat teragak-agak untuk masuk ke dalam kawasan laman rumah sehinggalah dipanggil oleh isterinya.
“Hari raya, isteri aku nampak seorang pak cik tepi pagar, jual aiskrim. Dia tak berani masuk jadi isteri aku panggil dia masuk ke laman.
“Anak-anak terus berlari excited (teruja) nak pilih aiskrim,” katanya.
Suasana menjadi lebih hiba apabila pemilik rumah tersebut enggan menerima wang baki setelah membeli aiskrim untuk anak-anaknya.
Tindakan itu menyebabkan pak cik berkenaan menunduk dan mengangkat tangan mendoakan kesejahteraan keluarga mereka.
“Aku bayar dan dia hulur baki tapi aku geleng. Dia terus tunduk dan angkat tangan berdoa untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa hiba melihat kegigihan warga emas tersebut bekerja mencari rezeki yang halal walaupun di hari raya.
“Kenapa potong bawang pagi-pagi ini? Semoga dipermudahkan segala urusan encik dan isteri serta pak cik tersebut,” kata pengguna Lysaestrada.
“Doakan aku supaya berpeluang jadi macam kau boleh bersedekah dan membantu orang lain walaupun tidak banyak,” jelas Hajjajbinmohamad pula.
Tambah Encikloklok, doa daripada individu yang mementingkan usaha halal dan sentiasa bersyukur dalam mencari rezeki walaupun di hari raya adalah doa yang paling berharga. – KOSMO! ONLINE














