fbpx
AZMAN (kiri) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu warga asing dalam Operasi Bersepadu Bersama JPJ di susur keluar CIQ BSI, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

31 kenderaan asing ‘bedal’ minyak RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 31 kes yang melibatkan kenderaan pendaftaran asing mengisi RON 95 sejak 1 April lalu.

Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, jurang harga RON95 yang jauh lebih rendah berbanding di negara asal menjadi punca penyalahgunaan minyak bersubsidi itu oleh pemilik kenderaan asing yang masuk ke negara.

Katanya, ada juga pemilik kenderaan pendaftaran asing yang memberi alasan tidak tahu stesen minyak yang menjual RON97 ketika ditahan mengisi minyak RON95.

“Berkuat kuasa pada 1 April lalu, KPDN telah menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing. Penguatkuasaan hukuman boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan terbabit.

“Dalam keadaan geopolitik sekarang, kita perlu memastikan kecukupan bekalan terutamanya RON95 yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi Penguatkuasaan VEP bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur keluar CIQ BSI, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Azman berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut akan memudahkan lagi usaha mengesan pihak yang melakukan kesalahan tersebut seterusnya mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, KPDN mula memperkenalkan pendekatan baru iaitu penggunaan kad kredit dan kad debit asing tidak lagi boleh digunakan di terminal pam minyak layan diri di mana-mana stesen minyak.

“Proses tersebut masih lagi berlaku, ada lagi beberapa buah syarikat minyak yang masih lagi dalam proses konfigurasi sistem masing-masing, kita akan terus pantau perkara ini secara lebih dekat.

“Dalam keadaan kita memastikan kecekapan penguatkuasaan, tidak ada lagi ruang untuk kenderaan asing ini untuk mendapatkan bekalan secara tidak sah di Negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes penyalahgunaan minyak bersubsidi di Johor, katanya, hanya satu kes pada 10 April lalu dan kertas siasatan berkaitan kes tersebut kini berada dalam pertimbangan timbalan Pendakwa Raya.

“Jadi, kita akan tunggu keputusan daripada timbalan Pendakwa Raya tersebut sama ada akan dibenarkan untuk dituduh di mahkamah, individu terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta dan juga kompaun,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN