fbpx
Zambry

Ahli akademik perlu rendah diri, elak rasa paling benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan akademik diingatkan agar tidak terperangkap dengan sikap merasakan diri paling benar dalam bidang masing-masing, sebaliknya perlu mengamalkan sifat rendah diri dalam ilmu atau ‘intellectual humility’.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan itu penting dalam membentuk budaya ilmu yang sihat dan saling menghormati.

Menurutnya, dalam dunia akademik yang semakin mencabar, kepimpinan tidak boleh lagi dilihat hanya dari sudut jawatan atau kedudukan, sebaliknya perlu berteraskan nilai, adab dan tanggungjawab dalam mengurus perbezaan.

“Kita tidak boleh terperangkap dengan sikap merasakan diri paling benar atau paling hebat dalam bidang masing-masing. Apa yang lebih penting ialah sifat rendah diri dalam ilmu dan menghormati pandangan orang lain walaupun berbeza,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau berucap dalam Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Selatan yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin.

Program tersebut menghimpunkan lebih 250 pensyarah dan pentadbir muda daripada UiTM serta politeknik sekitar Melaka dan dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Tambah beliau, konsep adabul ikhtilaf atau adab dalam berbeza pendapat perlu terus dipupuk dalam kalangan warga akademik.

“Kita digalakkan untuk bersuara dan memberi pandangan, tetapi dengan niat untuk memperbaiki, bukan menjatuhkan,” ujarnya.

Katanya, dunia hari ini tidak lagi menilai kehebatan seseorang hanya dalam satu bidang, sebaliknya keupayaan menghubungkan ilmu dengan keperluan masyarakat menjadi keutamaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN