KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah dan pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dijangka didakwa di mahkamah pada minggu hadapan berhubung kes penyelewengan dana kira-kira RM900,000.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu berkenaan dijadualkan dituduh seawal Rabu depan.
“Kedua-dua mereka dari Jupem akan dituduh di mahkamah Rabu atau Khamis hadapan,” katanya ketika berucap pada Anugerah Media SPRM Kali ke-6 2026 di sini, malam ini.
Terdahulu, pada 11 Februari lalu, Azam mengesahkan dua pegawai kanan jabatan kerajaan termasuk seorang Ketua Pengarah disyaki bersubahat menyeleweng dana bagi kepentingan peribadi.
Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan mendapati mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Selain itu, kedua-dua suspek turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butiran material palsu bernilai kira-kira RM60,000.
Difahamkan, tuntutan tersebut didakwa digunakan bagi menunaikan ibadah umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














