fbpx
KEADAAN mayat lelaki warga emas yang maut dalam kejadian samun di kediamannya di Pekan Baru, Teluk Intan hari ini.

Warga emas maut dilibas parang dalam kejadian samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian samun di kediamannya di Pekan Baru, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun yang mengakibatkan kematian mangsa berusia 69 tahun itu pada pukul 6.38 pagi

Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis segera ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.02 pagi ketika isteri mangsa berada di halaman rumah bagi membuat persiapan sembahyang, manakala mangsa pula sedang berehat di dalam kediaman.

“Tiga lelaki bertopeng dipercayai memanjat tembok hadapan sebelum memasuki kawasan rumah pasangan warga emas itu dan menyerbu masuk ke dalam kediaman mereka,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kok Lian, suspek kemudian mengugut kedua-dua mangsa untuk mendapatkan barangan kemas sebelum mereka bertindak melibas senjata tajam dipercayai parang ke arah mangsa.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dalam kejadian itu, isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua suspek melarikan diri bersama barangan kemas dan wang tunai, bagaimanapun jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Oang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan di talian 05-6222222,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN